Baca teks penuh ucapan Menteri Kewangan Malaysia, Yang Amat Berhormat, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Razak di Dewan Rakyat pada hari ini, Selasa 10 MAC 2009 bertajuk Pakej Rangsangan Ekonomi 2009
(English version at BizMalaysia.com: Malaysian Economic Stimulus Package 2009-2010).
UCAPAN OLEH
YAB DATO’ SRI MOHD. NAJIB TUN ABDUL RAZAK
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
KETIKA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN TAMBAHAN (2009)
DI DEWAN RAKYAT PADA 10 MAC 2009
Tuan Yang DiPertua,
Saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-Undang bernama ‘Suatu Akta bagi
menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan
bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2009 dan bagi memperuntukkan
jumlah wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu bagi bahagian tahun itu’, dibaca
kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang DiPertua,
2. Peruntukan Tambahan Perbelanjaan Mengurus Pertama, 2009 ini adalah
dibentangkan menurut perkara 100 dan 101 Perlembagaan Persekutuan, iaitu bagi
memperolehi kelulusan terhadap perbelanjaan yang tidak diperuntukkan atau terkurang
diperuntukkan dalam Bajet 2009 yang telah diluluskan terdahulu oleh Dewan yang mulia ini.
3. Krisis ekonomi global semasa, yang bermula daripada krisis kewangan subprima di
Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 2007, telah membawa kesan yang jauh lebih
meluas dan mendalam. Setelah hampir dua tahun sejak krisis kewangan global melanda,
namun masih belum nampak tanda-tanda kembalinya kestabilan di sektor kewangan dan
pemulihan ekonomi negara-negara maju. Malahan lebih separuh daripada ekonomi utama
dunia, terutamanya Amerika Syarikat, kawasan Eropah dan Jepun, telah terjerumus ke
dalam kemelesetan. Negara-negara ini telah mengalami penguncupan ekonomi yang
terburuk semenjak the Great Depression pada 1930an.
4. Walaupun negara-negara maju telah mengumumkan Pakej Rangsangan ekonomi
yang begitu besar melebihi 3 trilion dolar Amerika, sejumlah besar digunakan untuk
menyelamatkan institusi kewangan dan syarikat gergasi mereka, namun masih belum dapat
memulihkan keyakinan para pengguna dan pelabur. Malah pengumuman terkini
menunjukkan kadar pengangguran di Amerika Syarikat berada di tahap ialah 8.1%, kadar
paling tertinggi sejak tahun 1983.
5. Perkembangan ekonomi dunia yang amat negatif ini telah mula menampakkan
impaknya ke atas ekonomi negara dalam suku keempat tahun 2008. Eksport dan
pengeluaran industri negara mula merosot dan pelaburan berkurangan. Sentimen pengguna
juga telah turut terjejas. Berikutan ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah
mencatatkan penurunan kadar yang ketara rendah sebanyak 0.1 peratus, berbanding
dengan purata sebanyak 6.3 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2008.
Pengurangan ini disebabkan, terutamanya oleh penguncupan eksport, bagi tempoh yang
sama, telah mengalami kejatuhan nilai sebanyak 13.4 peratus. Kejatuhan eksport ini telah
menjejaskan pertumbuhan sektor ekonomi, terutamanya pembuatan yang telah mencatatkan
penguncupan sebanyak 8.8 peratus.
Teruskan membaca di bawah (dalam bentuk PDF untuk cetak dsbnya):
Apa pendapat anda?
Bagaimana ia dapat membantu para usahawan, khususnya usahawan Bumiputera di Pulau Pinang? Adakan ia dapat membantu ekonomi negeri Pulau Pinang dan lain-lain di luar Lembah Kelang?
Bagaimana para usahawan boleh berkerjasama memulihkan dan merangsangkan ekonomi negara sambil menampan kesan krisis ekonomi global bermula di Amerika Syarikat dan Eropah?
Silakan bincang...(English version is also available at BizMalaysia.com: Malaysian Government Economic Stimulus Package 2009-2010)


0 comments:
Post a Comment